Thursday, February 27, 2014

hormat?




Bukan untuk berkurang ajar
apatah lagi mahu memaki hamun
dia yang aku pandang umpama bapa
walau tidak ada secalit tautan darah

Jujurnya,
kalau benar dia bermain dengan syarat 
yang langsung tak boleh diubah
apa yang dia catit pada asalnya
menjadi batu akan terus kekal sebagai batu
Tak akan putih tak boleh hitam
Batu yang dia sendiri corakkan
hanya ikut dengan firasat dan nafsu akal butanya

aku percaya, undang undang boleh dipinda
ya, untuk kebaikan dan kalaupun pindaan itu 
mampu mendatangkan kebaikan walau hanya sekecil zarah
aku percaya
tak ada salah tak ada dosa
kalau diubah
dan tak ada perlangsungan tata cara yang jatuhkan hukuman
mandatori, kau bakal ke neraka
langsung, tidak ada
kalau ada pun,selayaknya itu kasta engkau.

Tapi, dek kerana undang undang tekal yang dibina
kau kata, itu hidup dan mati perlu aku turut
kalau aku langgar, ego kau habis tercalar
maruah kau di depan berpuluh mata, lunyai di telapak kaki

Pada aku, perlu aku kisah?
Kau buat apa yang kau mahu
Aku diam perhati selagi mampu
sampai masa, aku berani kata
kau tak layak untuk aku puja 

Sampai masa, mata aku boleh bertentang
dalam tikaman mata itu,
aku mahu hati kau remuk lumat
tersedar,
biar kau malu dengan pura pura engkau
Biar tindakan kau, jadi tali gantung untuk jasad tubuh sendiri

Kau tak layak digelar
pendidik bangsa

CELAKA.
270214 8.30 AM.
Bangunan kuning tangga satu.
celaka.

Thursday, February 20, 2014

ALASAN.



Assalamualaikum.
Dah lama tak menaip dalam ruangan sesawang yang makin dilupakan macam tu sahaja ni ni ni :D
Semester baru dah mula, hari baru bermula dan janji yang baru pun bermula.
Assignment ringkas pertama yang diberi, untuk permulaan yang baru ini adalah dalam subjek Psikologi Pembelajaran Dr fatanah.
Dan untuk pengetahuan yang ala ala keji, kelas ini berlangsung pada hari kedua dan pada kelas pertama ini, aku dah pun ponteng kelas. Syabas, Amirah syabas! Sebab apa ponteng? Sebab main dengan konsep alang alang menyeluk perkasam biar sampai ke pangkal lengan. Alang alang lambat, biar ponteng terus.wahaha! Padahal lewat 15 minit je terlajak tidur, terus muka pucat dan hati berdetak 'Tak payah lah pergi.Dah lambat'

Kawan kelas kata, nama dah naik dah dari mulut lect. Bakal kena aims lah kau mira oi.Ada kawan seangkatan yang kaki ponteng  terserempak dengan lect, terus kena bambu. Lect ni kata 'Dah lah tak datang kelas, tak ada pula nak datang jumpa saya minta maaf' Teeehhhe!






Lect suruh tulis essay tentang 'Kenapa tak dapat 4.00 flat?'
Dan walaupun tajuk lect nak macam agak demand, okay bisa diatur sebab aku adalah manusia yang gemar dan mahir memberi 1001 alasan dalam hidup ini haha.
Tak nak taip panjang panjang terus kopies essay yang ditulis pada malan hari dapat tugasan.
Sebabkan aku rasa ini tugasan yang bukan personal dan konsepnya seakan akan bermonolog sendiri, jadi aku dengan rela hati nak publish dekat sini jugak, buat tatapan anak cucu jika mereka besar nanti. cewah!

see ya!
Assalamualaikum :)

Tugasan 1 – Hari pertama kelas DR Fatanah ( PPEC 1104 – PSIKOLOGI PEMBELAJARAN)
Soalan : Nyatakan sebab kenapa tak dapat 4 flat?



Assalamualaikum Dr. Nama saya Nurul Amirah Binti Mohd Azizul (PEC 130030). Saya merupakan pelajar tahun pertama bagi semester 2 Jurusan ijazah Sarjana Muda Kaunseling. Pada peperiksaan akhir semester yang lepas, bagi keseluruhan 6 subjek yang diambil, saya mendapat 5A dan 1B-.

Secara keseluruhannya, saya sangat bersyukur dengan keputusan peperiksaan ini, namun jika diberi pilihan untuk jadi yang terbaik dan mendapat markah terbaik keseluruhan, sudah pastinya saya mensasarkan untuk mendapat 4.00. Namun, sedikit malang dan mungkin bukan rezeki saya pada kali ini, dengan usaha saya yang saya kira agak setimpal tindakannya, maka ini sahaja yang layak saya dapatkan untuk ditonjolkan kepada kedua ibu bapa saya supaya mereka tersenyum dan untuk membalas penat lelah pensyarah yang menharapkan keputusan terbaik bagi kelas kami.

Secara jujurnya, saya katakan bahawa jika boleh diputarkan semula masa dan saya kembali bermula pada hari pertama, saya yakin yang saya boleh dapatkan keputusan terbaik dan tidak mustahil 4.00 akan ada dalam genggaman tangan saya kerana usaha dan tekad saya sendiri. Namun, pada semester yang lepas, saya akui bahawa ketidak mampuan untuk menjadi yang terbaik itu datang dari tindak tanduk yang saya sendiri ambil dan pilih. Saya seorang yang kerap tidak hadir ke kelas sehinggakan pada Kelas Kemahiran Maklumat yang lepas, nama saya sudah disenarai pendekkan menerima amaran pertama akibat kerap tidak datang secara berterusan. Puncanya? Saya mengaku yang saya sambil lewa, malas dan ambil mudah dalam setiap perkara. Jika saya terlewat 10 minit dari waktu yang asal, keputusan akhir saya adalah saya akan tidak datang langsung untuk tempoh 3 jam atau 2 jam kelas terbabit. Sikap negatif saya ini, saya kira membunuh peluang untuk saya sendiri. Malahan, jujurnya juga kelas kelas lain juga saya adalah antara muka yang kerap tidak hadir ke kuliah atas alasan alasan tertentu yang saya kira, jika diteliti secara jelas, orang akan dapat bercakap cakap  yang saya seorang yang malas dan kurang motivasi dalaman dalam diri.

Sememangnya niat saya belajar adalah untuk medapatkan keputusan terbaik dan mahu jadi yang terbaik dalam kalangan semua. Saya seorang yang aktif di Universiti dan terlibat sebagai wakil Universiti Malaya dalam kelab Oretor Debat dan Puisi dan di kolej juga, saya sering dipanggil untuk menjadi pengacara majlis. Secara kosepnya,penglibatan aktif dalam aktiviti kokurikulum itu saya mampu capai namun masalah yang menjadi kekangan saya sendiri untuk dapat 4.00 adalah kerana ketidakmatangan saya dalam menguruskan masa. Kadang kala latihan luar mengambil masa yang lama sehingga ada mececah jam 2 pagi baru saya tiba di bilik, jadi kerana letih dan mengantuk saya putuskan untuk tidak hadir ke kelas.
Selain itu, saya gagal untuk mendapat 4.00 adalah kerana saya membuat persiapan di minit minit terakhir. Cara ulang kaji saya bukan bermula dari awal semester, sebaliknya bila sudah meninggal baru saya nak gali kubur sendiri. Itu perumpaan sikap saya. Pada peperiksaan yang lepas, saya mula membuka buku dan mula fokus pada minit minit terakhir iaitu pada malam sehari sebelum menjawab peperiksaan, lebih teruk lagi ada subjek yang saya hafal di tepi tong sampah di luar dewan peperiksaan sebelum 5 minit sahaja lagi semua pelajar diwajibkan masuk ke dalam dewan. Saya akui, itu juga memberi kesan kepada keputusan saya yang sekali gus mengahalang saya untuk dapatkan A+ dalam kesemua mata pelajaran.

Kesimpulannya, ini adalah sebab major kenapa saya tidak mampu capai 4.00 dan hanya layak diberikan sekadar ini pada peperiksaan kali akhir. Saya tidak memandang kepada mandat DEKAN, sebaliknya langkah saya dalam kelas ini adalah untuk jadi yang terbaik dalam kalangan semua dan saya mahu saya mampu jadi pencabar terbesar bagi kawan kawan yang lain. Tiada isitilah 'dekan adalah segala galanya' , kerana saya tahu jika itu yang diburu saya tidak akan rasa seronok untuk belajar perkara yang baru setiap hari. Matlamat saya adalah, belajar sehabis baik dan serap segala ilmu sebanyak mungkin namun, adalah bohong jika saya katakanan yang saya tidak tercuit untuk dinobatkan sebagai anak Melayu yang mampu mendapat 4.00 dan boleh berdiri sama tinggi dengan bangsa cerdik pandai lain di Universiti Malaya.

Saya juga ada terniat sebegitu, mahu buktikan yang saya boleh, mahu membuat ibu dan ayah saya bangga tersenyum dan mahu membuat pensyarah percaya dan yakin dengan kemampuan saya. TAPI, punca dan kesilapan kenapa saya tak mampu buktikan pada semester satu yang lepas yang saya boleh dapat 4.00 adalah SEBAB KESILAPAN DIRI SAYA SENDIRI. Silap saya sendiri dan kelemahan diri saya sendiri. Bukan punca persekitaran dan bukan punca orang sekeliling, tapi semuanya adalah salah saya. Dan, hasilnya berani buat berani tanggung. Apa yang saya usahakan, ini sahajalah hasilnya.

Jadi, saya mohon Dr sudi beri tunjuk ajar dan pantau saya. Jika bukan sebagai pelajar individu, lihat saya sebagai pelajar yang ada potensi yang perlu digilap. Saya perlukan bimbingan Dr dan moga Dr sedar akan kehadiran saya dalam setiap kelas Dr walaupun pada kelas pertemuan pertama kita, saya tidak datang kelas atas sebab sebab yang saya kira Dr boleh agak selepas baca surat saya ini. Doakan saya, dan inshaallah semester baru, tahun baru dan penghijrahan yang baru, saya tekad jadikan ini sebagai permulaan untuk saya berubah ke arah yang lebih baik, matang, rasional, beratnggungjawab dan bersemangat untuk menjadi seorang bakal kaunselor yang berjaya. InshaALLAH J

Terima kasih , Dr Fatanah.